Wednesday, March 27, 2013

Si pencinta haiwan


SELEPAS menyertai rancangan MasterChef Celebrity Malaysia, Ratu Cantik Dunia Malaysia 2009/2010, Thanuja Ananthan semakin dikenali peminat berbangsa Melayu.

Apatah lagi, Thanuja, 25, fasih berbahasa Melayu. Kelincahannya dalam rancangan tersebut turut memberi kesan terhadap perkembangan seninya.

Bagi penulis, rambut yang cantik, tubuh tinggi lampai dan senyuman manis antara keistimewaan yang dimiliki Thanuja.

Selain bergelar ratu cantik, model dan pengacara, lulusan Universiti Northumbria, New Castle, United Kingdom dalam jurusan undang-undang ini sebenarnya ialah pencinta haiwan.

Baginya, haiwan yang tidak dapat bersuara meluahkan perasaan memerlukan perlindungan khusus.

Mungkin sebab itu, dia menjadi pelindung beberapa binatang peliharaan antaranya arnab, kucing, ikan, kura-kura dan anjing.

Sekiranya mempunyai kelapangan, dia lebih gemar duduk di rumah melayan kerenah haiwan kesayangannya itu.

Jiwa tenang"Inilah aktiviti saya pada waktu lapang. Apabila bersama haiwan-haiwan ini, jiwa saya tenang. Saya masih ingat ketika berumur 10 tahun, saya akan curi-curi keluar rumah sekiranya terdengar bunyi kucing mengerang kesakitan atau lapar. Walaupun kucing itu di dalam longkang, saya akan masuk dan menyelamatkannya," ujar duta Persatuan Melindungi Haiwan Dengan Beretika (PETA).

Thanuja menambah, setiap orang ada cara tersendiri untuk menenangkan fikiran. Baginya, peluang bersama haiwan peliharaan lebih bermakna lebih-lebih lagi jika menjaganya dengan penuh sayang.

Kesihatan

Mungkin ramai yang tidak menyangka, si ratu ini menggemari makanan pedas.

"Saya memang suka makan. Dalam satu hari saya mesti makan nasi dengan lauk-pauk kegemaran iaitu yang pedas-pedas. Cili kegemaran saya. Disebabkan terlalu suka masakan pedas, saya akan menggunakan banyak cili setiap kali memasak.

"Tidak pernah terdetik untuk diet kerana saya yakin jika kita pandai seimbangkan makanan dengan senaman, pasti tiada masalah kegemukan. Senaman yang berkesan dilakukan adalah yoga," katanya.

Melihatkan rambutnya yang hitam lebat maka tidak hairanlah ia antara soalan popular yang sering diajukan kepadanya.

Menurut Thanuja, rambutnya memang kerinting dan lebat sejak kecil lagi.

Percaya atau tidak, dia tidak pernah buat rawatan rambut di salon.

"Cukup menggunakan minyak zaitun dan syampu serta tahu cara mencuci rambut dengan baik. Inilah hasilnya. Jika saya ada kerja peragaan atau fotografi, saya tidak mahu rambut saya diwarna atau sembur. Inilah aset diri yang paling saya sayang," kata Thanuja sambil menunjukkan rambutnya.

Petua

Menyentuh cara penjagaan kulit, Thanuja berpendapat, petua tradisional lebih baik untuk mendapatkan kulit sihat.

Thanuja hanya mengamalkan petua tradisional masyarakat India yang diajar oleh ibunya dengan hanya menggunakan bahan dapur.

Antaranya kacang hijau yang dikisar halus sehingga menjadi seperti serbuk. Ia boleh digunakan di seluruh badan dan dijadikan topeng muka.

Bercerita tentang pengalamannya menyertai pertandingan ratu cantik, Thanuja memberitahu, ia didorong minatnya pada dunia kecantikan sejak kecil lagi.

"Ia tidak datang secara tiba-tiba. Ia sebenarnya bermula sejak kecil dan saya mahu sentiasa kelihatan cantik. Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan menambah kekuatan dalam diri saya untuk memasuki pertandingan Ratu Dunia Malaysia 2009/2010," katanya yang akan meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan dan pengacaraan televisyen dalam bahasa Melayu tidak lama lagi.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120708/ke_04/Si-pencinta-haiwan#ixzz2OjPxGrlL
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...