Monday, March 26, 2012

Biak arowana kerana minat


Amer hamzah dahlan (kiri) dan pegawai penyelidikan kanan, jabatan perikanan, mohamad zaini suleiman meneliti anak ikan yang diasuh dalam akuarium.


SAYA sanggup menghadap akuarium, melihat ikan berenang selama berjam-jam tanpa rasa jemu, kadang-kala sehingga ditegur isteri baru tersedar," kata pengusaha ikan arowana, Amer Hamzah Dahlan.

Bermula sebagai penggemar ikan hiasan, kini beliau boleh dikategorikan sebagai pengusaha benih ikan arowana yang berjaya.

Biarpun baru bertatih-tatih untuk mengeluarkan benih ikan arowana secara besar-besaran, namun pengalaman beberapa tahun memelihara, menternak serta membiak arowana secara kecil-kecilan akhirnya membuahkan hasil.

"Dahulu kerana minat sangat ikan ini (arowana) saya sanggup pergi dari kedai ke kedai hanya untuk melihatnya sahaja.

"Pada ketika itu tidak mampu untuk beli yang mahal-mahal, dapat tengok pun jadilah," ujarnya ketika ditemui di kolam ternakan ikan arowana di Bukit Merah, Semanggol, Perak.

Amer kini mampu berbangga dengan sebidang tanah yang memuatkan hampir 50 buah kolam ternakan arowana dan dihuni hampir 800 ekor ikan tersebut.

Katanya, kerana minat yang mendalam pelbagai kajian berkenaan pembiakan dan penjagaan arowana telah dilakukannya sejak 10 tahun lalu.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Prisma Eramas Sdn. Bhd. ini membiak dan menternak ikan arowana secara kecil-kecilan.

Malah, beliau yang pada ketika itu bekerja makan gaji sering berulang-alik ke Bukit Merah untuk melihat serta mengkaji bagaimana cara menternak dan memelihara ikan tersebut.

Apabila telah benar-benar memahami dan yakin, Amer kemudiannya berhenti bekerja makan gaji dan menubuhkan syarikat penternakan ikan arowana bersama dua orang lagi rakan kongsinya.

Biarpun menetap di Bangi, Selangor, namun ia tidak menghalang Amer Hamzah untuk turun padang ke Bukit Merah seminggu sekali bagi memastikan perniagaannya berjalan lancar.

Malah, dirinya sendiri sering mengendalikan proses mengeluarkan anak ikan arowana daripada induknya.

Biarpun proses tersebut kelihatan leceh kerana perlu membelai dan memujuk induk ikan untuk membuka mulutnya secara perlahan-lahan bagi mendapatkan anak yang dijaga.

Namun, benarlah kata pepatah, alah bisa tegal biasa, kehangatan pancaran matahari, hanyirnya bau lumpur ketika meredah kolam tidak lagi dirasakan apabila 'buah hati' yang berada di depan mata mampu memberikan hasil yang lumayan.

Menurut Amer Hamzah lagi, antara jenis ikan arowana yang terkenal dibiak olehnya adalahMalaysian Gold, Highback Golden, Red Arowana, Silver Arowana dan Gold Blue Base Arowanayang mana merupakan spesies asal yang terdapat di Tasik Bukit Merah.

Namun yang paling banyak mendapat permintaan adalah Malaysian Gold kerana ia sukar dibiak dan unik di mana hanya boleh didapati di negara ini terutamanya di sekitar Bukit Merah.

Bagi induk utama, Amer memperolehinya daripada rakan-rakan pengusaha yang telah lama dikenali serta dipercayai.

Ia berikutan untuk mendapatkan anak benih yang baik, ia memerlukan induk yang benar-benar sihat serta mampu menghasilkan anak yang banyak di samping memiliki daya ketahanan yang tinggi.

Menggunakan modal sendiri antara resipi utama kejayaan Amer Hamzah serta dua lagi rakan kongsinya.

"Sehingga kini saya dan rakan-rakan tidak pernah membuat pinjaman perniagaan dari mana-mana agensi.

"Segalanya menggunakan wang simpanan sendiri sebagai modal permulaan," katanya.

Biarpun baru bermula, perniagaannya kini berjalan lancar dan induk ikan yang dipelihara telah mula mengeluarkan hasil.

Arowana atau nama saintifiknya Scleropages formosus (Asian Arowana) banyak terdapat di sekitar Tasik Bukit Merah, justeru kawasan tersebut dilihat amat sesuai untuk aktiviti pembiakan secara komersial.

Biarpun arowana merupakan ikan yang agak lasak dan memiliki daya ketahanan yang tinggi namun ia tetap memerlukan kualiti air yang baik.

Jika terdapat pencemaran terhadap air yang dialirkan ke dalam kolam kemungkinan besar ikan-ikan yang terdapat di dalamnya akan mudah mati serta sukar untuk membiak.

Jika ikan-ikan induk tersebut mudah mati pastinya pengusaha akan menanggung kerugian yang tinggi berikutan seekor induk ikan arowana mampu mencecah harga belasan ribuan ringgit.

Untuk mengelakkan kejadian seumpama itu terjadi, sebuah rumah pemproses air turut dicipta olehnya.

Ia bertujuan untuk membendung masalah pencemaran air jika berlaku dengan mengitar semula air kolam yang mengalir keluar.

Proses tersebut juga seakan-akan proses kuarantin ikan di dalam kolam daripada bekalan air tercemar dari luar.

Rumah pemprosesan air itu terdiri daripada beberapa buah penyedut air yang menggunakan kuasa elektrik dan penapis mirip proses pembersihan sebuah akuarium.

Justeru, jika pencemaran dikesan, tali air masuk akan ditutup dan air kolam akan dikitar dan dibersihkan.

Biarpun begitu, kematian induk arowana tetap tidak dapat dielakkan, namun ia boleh dikawal melalui proses penjagaan yang rapi.

Bagaimana pun proses pembiakan tidaklah semudah seperti yang disangka kerana ikan arowana amat memilih pasangan.

Biarpun diletakkan secara berpasang-pasangan namun ia tidak boleh dipaksa untuk mengawan.

Berbeza dengan cara pembiakan aruhan yang biasa dilakukan oleh penternak seperti ikan keli, patin dan tilapia, arowana memiliki caranya yang tersendiri.

Apabila ikan betina telah bersedia untuk mengawan ia akan mengeluarkan telurnya dan akan disenyawakan oleh ikan jantan setelah itu ikan jantan akan membawa telur tersebut didalam mulutnya.

Proses menjaga akan diambil oleh ikan jantan dan berlanjutan sehingga anak-anak ikan cukup besar sebelum dilepaskan oleh induknya.

Disinilah pengamatan teliti diperlukan untuk menentu ikan jantan tersebut sedang membawa telur atau anak ikan yang sudah matang.

Menurut Amer Hamzah, kebiasaannya ikan jantan yang membawa telur terdapat sedikit perubahan fizikal iaitu dari segi bentuk kepalanya.

"Kebiasaannya kepala ikan jantan yang membawa anak ikan atau telur memiliki saiz sedikit besar.

"Kita perlu perhatikan dengan teliti dan kemahiran ini memakan masa yang agak lama," ujarnya.

Terdapat dua kemungkinan yang akan terjadi jika seseorang pengusaha itu tidak berapa mahir dalam menentukannya iaitu sama ada akan memperolehi benih dalam bentuk telur (masih baru) atau jika terlambat anak ikan akan dilepaskan.

Jika dituai didalam bentuk telur dikhuatiri kadar kemandirian benih tidak tinggi di mana anak ikan akan cepat mati.

Namun, jika anak ikan telah dilepaskan oleh induknya (telah matang) ia mudah menjadi makanan kepada ikan pemangsa seperti haruan.

Justeru, masa yang terbaik adalah dua hingga tiga minggu selepas musim mengawan di mana anak ikan telah cukup kuat untuk hidup sendiri.

Bagi syarikat Urusan Prisma Eramas Sdn. Bhd., mereka turut menyediakan inkubator untuk menyimpan anak benih ikan arowana yang masih kecil sehingga ikan tersebut matang untuk dipasarkan.

Sehingga kini, anak benih ikan keluaran syarikat Amer Hamzah telah mendapat tempat di beberapa buah negara seperti Jepun.

Kini, mereka sedang dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan ke China berikutan permintaan terhadap ikan hiasan tersebut sedang galak dan telah menjadi fenomena di sana.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...