Wednesday, August 24, 2011

Ikan terapi Jamal Abdillah


KEUNIKAN ikan arowana menarik minat Jamal Abdillah.


SEDIAKAN payung sebelum hujan. Itulah perumpamaan yang telah membuka mata raja pop tanah air, Jamal Abdillah untuk terus mencari sesuatu yang baru bagi menjamin masa depannya.

Sebagai anak seni, bapa kepada dua orang putera itu sedar bahawa popularitinya hari ini bukanlah satu jaminan kepada nasibnya pada masa hadapan.

Justeru itu, bagi memastikan keselesaan hidupnya pada kemudian hari, pelantun lagu Kau Kekasih Awal Dan Akhir itu tekad dengan melabur dalam bidang penternakan ikan arowana.

Disebabkan itu, jadual harian Juara Bintang RTM tahun 1979 itu dipenuhi dengan aktiviti perniagaan selain daripada memenuhi undangan persembahan nyanyian.

“Beginilah rutin harian saya, setiap dua bulan sekali saya akan turun ke kolam ikan saya di Bukit Merah, Perak bagi melihat dan memantau perkembangan ikan-ikan di dalam dua kolam milik saya.

“Lagipun tempoh dua bulan itu adalah masa yang mana pembenihan anak-anak ikan baru saya dilakukan,” jelas Jamal ketika ditemui di pejabatnya di Danau Kota, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Cerita Jamal lagi, minatnya yang mendalam terhadap haiwan akuatik itu telah membuka pintu hatinya untuk mencuba pelaburan berkenaan.

“Saya memang minat dengan ikan kerana bagi saya ikan dapat memberi ketenangan kepada saya.

“Sejuk mata saya apabila melihat mereka berenang-renang di dalam air.

“Lagi pun dahulu saya pernah membuka sebuah kedai haiwan di Universiti Garden di Petaling Jaya sekitar tahun 1986,” jelas Jamal yang sedang merancang untuk menambahkan bilangan Kolam ikan arowananya.

Selain itu jelas Jamal, pelaburan ikan yang mula diceburi pada tahun 2009 lalu itu melibatkan kos RM150,000 untuk sebuah kolam.

“Melalui pelaburan ini, saya hanya mengeluarkan modal dan segala urusan dilalukan oleh pihak Bukit Merah Aquaculture (BMA).

“Malah, melalui pelaburan bersama mereka ini, setiap ikan mempunyai insurans yang mana sekiranya salah seekor daripada ikan saya mati, ia akan digantikan,” jelas Jamal yang akan tampil dengan album terbarunya, Raja Pop 2 bulan depan.

Selain itu, tambah Jamal lagi, hasil daripada pembiakan benih ikannya itu akan dipasarkan ke luar negara seperti Dubai, Hong Kong dan Taiwan.

“Semua anak-anak ikan saya akan diuruskan oleh pihak BMA dan hasil jualan itu nanti akan dibahagikan mengikut perjanjian yang telah kami setujui,” ujarnya.

Sementara itu, satu lagi perniagaan yang baru diceburi oleh Jamal adalah pelaburan emas yang mana ia semakin mendapat perhatian di kalangan masyarakat.

Baginya, pelaburan emas itu lebih memberikan manfaat memandangkan harganya yang agak stabil.

“Mula-mula semasa di cadangkan oleh Allahyarham Datuk Sosilawati dahulu saya hanya mendengar sahaja dan menganggap ia sama seperti simpanan lain.

“Namun apabila kawan saya Abdul Hamid Shahadan meyakinkan saya, terbuka hati saya untuk mula mencuba simpanan emas ini,” ujar Jamal yang memulakan pelaburan emas dengan membeli tiga jongkong emas seberat 100 gram.

Ujar penyanyi yang pernah berganding dengan Sofea Jane dalam filem Kekasih Awal dan Akhir itu, sekiranya para peminat mahu bersama mencuba pelaburan simpanan emas yang dilakukannya, mereka boleh melayari laman sosial Facebook (FB) miliknya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Carilah FB saya, Jamal Abdillah Serambi Emas dan insya-Allah saya akan cuba untuk memberikan penerangan sekiranya peminat berminat untuk mencuba,” katanya yang merancang untuk menambahkan lagi simpanan emasnya yang berharga RM16,000 bagi setiap jongkong.

sumber: Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...