Sunday, January 9, 2011

Arowana pawah

AVSB buka peluang niaga tempatan, kongsi keuntungan kolam

Bermula dengan hobi memelihara ikan hiasan, akhirnya ia dikembangkan menjadi perusahaan ternakan yang menguntungkan. Begitulah langkah awal tiga rakan kongsi - Md Jamil Sudin, 37, Shamroz Khan, 45, dan Dr Wazir Abdullah, 49, yang menjadikan ternakan ikan arowana sebagai sumber perniagaan sejak setahun lalu.

Arowana (Scleropages formousus) atau lebih dikenali sebagai ikan kelisa dalam kalangan masyarakat Melayu Malaysia, merupakan spesies ikan hiasan eksotik air tawar yang sangat popular dan tinggi harganya sehingga boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Turut digelar Drafon Fish atau Bony-tongued Dragon oleh sesetengah masyarakat Cina dan pengeksport serta pengimport, kononnya sisik dan sesungut ikan berkenaan menyerupai naga Cina. Lenggok gerakannya mempesona dek biasan kilatan sisik yang besar itu, meletakkan arowana dalam kelasnya tersendiri.

Di Malaysia, raja ikan hiasan ini hidup subur di habitat asalnya di dalam air Tasik Bukit Merah, Perak, menjadikan negara kita pengeluar kedua terbesar arowana di dunia selepas Indonesia, malah dianggarkan terdapat lebih 70 penternak ikan ini di Malaysia, dan di Bukit Merah sahaja ada 74 pengusaha. Perkembangan itu menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan 21.8 peratus sejak 2001 hingga 2008 dan kuantiti keluaran, 316,572 ekor bernilai RM146.0 juta pada tahun 2009.

Merebut pasaran yang terbuka luas itu, tiga sekawan ini menubuhkan Arowana Village Sdn Bhd (AVSB) yang kini aktif mengusahakan ternakan arowana di kawasan Bukit Merah dengan menumpukan beberapa spesies utama seperti Malaysian Golden, Red Arowana dan Highback Golden. Jenis perniagaan lain termasuk memelihara, menjual dan membeli induk serta anak-anak ikan arowana.


Ladang ternakan

Arowana Village setakat ini mempunyai 30 kolam beroperasi yang mana terdapat 20 ekor arowana bagi setiap kolam dengan kapasiti induk - 12 ekor betina dan lapan jantan, berusia dua setengah tahun ke atas.

Menurut Jamil, syarikat itu dalam proses membina 150 kolam lagi, iaitu 50 untuk fasa dua yang akan dilancarkan pada Mac dan 100 lagi bagi fasa tiga, dijangka pada Mei tahun ini.

Mengutamakan kualiti hasil tuaian dan harga berpatutan kepada pelanggan, AVSB menyediakan sistem pemeliharaan dan penjagaan rapi, termasuk aspek kebersihan serta keselamatan kolam 24 jam yang diuruskan kakitangan berpengalaman, dibantu sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV).

"Kami mempunyai satu bilik khas (inkubator) untuk mengawasi kestabilan anak-anak arowana yang baru lahir (dalam bentuk telur / yolk) bagi memastikan tumbesarannya mengikut jadual.

"Setelah umur anak ikan mencapai tiga hingga empat bulan, proses pengasingan dilakukan mengikut tahap pembesaran, ini kerana kami mengutamakan kualiti dan ketulenan jenis arowana," kata Jamil ketika ditemui pada pelancaran bilik pameran baru AVSB di Seksyen 13, Shah Alam, Sabtu lepas.

Bilik pameran yang dilengkapi sistem akuarium bermutu itu dirasmikan pelancarannya oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood.


Konsep pawah

Berkongsi kepakaran dan menyediakan ruang perniagaan kepada yang berminat, mereka mewujudkan sistem pawah - perkongsian antara pengusaha (AVSB) dengan rakan niaga (pemawah).

Menurut Jamil, melalui konsep tersebut pemawah hanya perlu mengeluarkan modal sekali sahaja, iaitu dengan membayar harga induk ikan matang - 20 ekor, RM300,000 (RM15,000 seekor). Induk berada di dalam kolam AVSB itu merupakan harta atau aset pemawah.

"Proses tuaian akan dilakukan dua bulan sekali untuk memastikan ada hasil atau tidak dengan memeriksa mulut induk. Jika ada, ia akan dibahagikan sama rata, iaitu 50-50 di antara kami dan pemawah.

"Kami memberi jaminan hasil setiap tuaian dan perkongsian ini selama lima tahun, maksudnya selepas tempoh itu semua pemawah boleh mengambil induk tersebut atau menjual balik kepada kami atau pun boleh menyambung terus kontrak pawah untuk lima tahun lagi," katanya memberitahu, ikan-ikan itu dieksport ke Dubai, China, Hong Kong dan Vietnam, selain untuk pasaran tempatan.

Jamil berkata, setakat ini AVSB mempunyai empat pemawah dalam kalangan penduduk tempatan di Bukit Merah yang beroleh pendapatan kira-kira RM18,000 setiap dua bulan (setiap kali tuaian) dan selebihnya dimiliki oleh mereka, namun membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai konsep pawah tersebut dengan pembinaan fasa kedua dan ketiga itu. Untuk maklumat boleh layari arowana.village@gmail.com.

sumber: Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...