Friday, October 15, 2010

Tentang Ikan Pelaga



Ikan pelaga juga dikenali sebagai ikan sekilau adalah salah satu dari ikan hiasan air tawar yang popular di Malaysia. Ikan ini dikenali dengan nama sains, Beta splendens. Dalam Bahasa Inggeris, ikan ini disebut "siamese fighting fish".

Ada banyak spesi ikan pelaga. Jenis tempatan tidak mempunyai sirip yang panjang. Jenis yang mempunyai sirip yang panjang berasal dari Sungai Mekong. Sebab itulah ikan ini dikenali sebagai “Sekilau Siam” atau “Siamese fighting fish’. Di sekitar Sungai Mekong ikan ini dikenali sebagai pla-kad atau pla-kat yang bermaksud ikan menggigit dalam Bahasa Siam.

Jangan salah tanggapan bahawa nama saintifiknya berasal dari perkataan Yunani ‘Beta’. Sebenarnya Betta bukan berasal dari perkataan Yunani. Ia sebenarnya berasal dari perkataan ‘Ikan bettah’. Ikan pelaga mempunyai panjang kira-kira 6 cm. Ada juga jenis yang mencapai sehingga 8.0 cm.

Akhir-akhir ini, ada juga pembiak yang berjaya menghasilkan ikan yang melebihi 8 cm. Walaupun ikan pelaga dikenali dengan warna yang pelbagai dengan sirip yang panjang, jenis asal mempunyai sirip yang pendek dengan warna yang kurang terang, iaitu kehijauan dan perang tua. Ikan pelaga dari jenis ini masih boleh ditemui dalam paya di sekitar Malaysia.

Kini jenis yang lebih popular mempunyai warna yang terang dengan sirip yang panjang. Jenis yang popular ialah veiltail, delta, superdelta, dan halfmoon. Ikan pelaga adalah ahli kumpulan ikan sepat (Gourami) (keluarga Osphronemidae) dalam order Perciformes.

Sebelum ini ia diklaskan bersama Anabantidae. Ada lebih dari 50 jenis betta yang lain, misalnya ikan Karim. Bagaimanapun, Betta splendens adalah jenis yang paling popular di kalangan penggemar ikan hiasan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...